Monday, September 6, 2010

Seni & Hiburan dalam Islam


bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt


Kita sering berjumpa dengan orang-orang yang beranggapan bahawa Islam melarang hiburan dalam kehidupan. Namun, adakah kenyataan ini benar?


Manusia dijadikan di dunia menurut fitrah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Mencipta. Kecenderungan kepada hiburan merupakan salah satu fitrah yang di anugerahkan kepada kita dari Yang Maha Pengasih. Ya terbukti dengan perbuatan kita sejak dari lahir lagi cenderung kepada dodoian ibu. Malah bagi yang muslim lagu pertama yang didengarinya ialah Azan dan Iqomah.


Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyatakan dalam bukunya yang bertajuk Seni & Hiburan dalam Islam bahawa barangsiapa yang memperhatikan keadaan kaum muslimin dan merenung realiti kehidupan mereka, nescaya tidak akan menemukan jarak antara seorang muslim yang taat di satu sisi, dengan kebiasaan menikmati alunan suara merdu di sisi yang lain.


          Sesungguhnya telinga seorang muslim pada umumnya telah terikat dengan mendengar sesuatu yang baik, ia menikmati dan merasakannya setiap hari iaitu bacaan al-Quran al-Kariim yang kita dengar dengan tartil (perlahan-lahan), bertajwid dan alunan suara yang merdu dari para Qari yang terbaik, juga melalui suara azan yang menyentuh pendengarannya setiap hari lima kali dengan suara yang indah. Ini merupakan warisan dari kenabian kerana Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada sahabat yang mendapat mimpi tentang azan: “Ajarkanlah azan itu kepada Bilal kerana suara Bilal itu sangat merdu.”


          Suara yang indah itu juga boleh didengari melalui acara-acara keagamaan yang dibacakan di dalamnya nasyid-nasyid yang menarik dengan suara indah sehingga dapat menyentuh hati dan menggetarkan perasaan.


          Selain itu, dapat juga didengari melalui puji-pujian untuk Nabi s.a.w., sebagaimana diwarisikan oleh kaum muslimin ketika mereka mendengar nasyid yang menarik dari anak-anak wanita kaum ansar, sebagai sambutan atas kehadiran Rasulullah s.a.w.


          Pada masa dahulu kaum muslimin juga mencipta berbagai-bagai lagu untuk menghiburkan diri mereka dan untuk menghiasi aktiviti kehidupan mereka terutama mereka yang hidup di kampung-kampung. Kami juga merasakan ketika waktu kecil dan di masa muda. Semuanya merupakan bentuk lagu yang tumbuh dari lingkungan yang sihat, menggambarkan nilai-nilai murni dan tidak menjadi masalah sama sekali.


          Seperti juga nyanyian khusus para pekerja dan buruh yang biasanya berkerja berat mendirikan bangunan dan mereka sama-sama mengangkat beban yang berat kemudian melagukan bersama-sama, “Haila, haila shalli ‘ala Nabi”. Ini mempunyai landasan syar’i dari perbuatan sahabat iaitu ketika mereka mendirikan masjid Nabawi dan memikul batu-batu di bahu mereka sambil bernasyid.


          Demikian kita dapati berkenaan kesenian ini iaitu seni menyanyi ini telah memasuki seluruh kehidupan, bagi yang bersifat agama mahupun dunia, dan manusia pun menerimanya secara naluriah. Mereka tidak mendapati bahawa ajaran agama melarang yang sedemikian itu dan ulama’ mereka pun tidak memandang budaya bangsa ini sebagai suatu alternatif. Bahkan seringkali lagu-lagu itu disertai dengan lirik-lirik yang mengandungi nilai-nilai agama, keimanan dan rohani serta akhlaq yang mulia. Seperti bergabungnya antara jasad dengan ruh, berupa tauhid, zikrullah, doa, selawat kepada Nabi s.a.w dan lainnya.


          Pada nyanyian rakyat semisal ini, saya tidak mendapatkan ajaran Islam mengingkari dan melarangnya kecuali nyanyian-nyanyian yang dicipta untuk tujuan politik, untuk membangkitkan duka lara, untuk melarang orang bersabar dari musibah dan pasrah kepada takdir.


Mengapa ulama’ mutaakhirun bersikap keras dalam masalah lagu?


Para ulama’ mutaakhirun dan kalangan ahli fiqh itu lebih bersikap keras dalam melarang lagu-lagu terutamanya yang disertai dengan alatan musik, daripada ulama’ zaman dahulu adalah kerana beberapa sebab antaranya adalah:

  1. Mengambil sikap hati-hati, bukan mengambil yang lebih mudah
  2. Tertarik dengan hadith dha’if dan palsu
  3. Keadaan lagu-lagu yang sedang mendominasi
  4. Nyanyian yang berbentuk maksiat
  5. Lagu-lagu sufi (zikirullah)
Insya’allah sebab-sebab ini akan dibincangkan dalam penulisan yang seterusnya.


Wallahua’lam

No comments: